AS Hadapi Defisit Kronik, Hutang Mencanak
AMERIKA SYARIKAT, 1 JULAI 2024 – Defisit perbelanjaan serta kadar hutang yang mencanak yang dihadapi oleh Amerika Syarikat (AS) kini telah menjadi “risiko yang semakin besar” terhadap ekonomi global dan ianya hendaklah segera diberi perhatian.
Kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh International Monetary Fund (IMF) pada Khamis lalu setelah mana hutang negara tersebut kini sudah mencecah $35 trilion.
Manakala defisit perbelanjaan negara itu turut meningkat daripada $1.4 trilion bagi tahun 2022 kepada $1.7 trilion pada tahun lalu.
Sebuah badan pemerhati kewangan AS, Congressional Budget Office telah membuat jangkaan pada awal bulan lalu bahawa defisit negara tersebut berkemungkinan besar akan mencecah $1.9 trilion pada tahun ini yang mewakili sekitar 7 peratus daripada KDNK negara tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh IMF menerusi ‘Article IV’ itu menyebutkan bahawa keadaan yang dihadapi AS itu berpotensi untuk menjadikan kos-kos pembiayaan fiskal bertambah tinggi serta menambahkan risiko dalam kelancaran pembayaran hutang.
Menurut laporan itu lagi, “Defisit fiskal yang kronik itu mewakili kesalahan jajaran dalam polisi yang mana ianya hendaklah diberi perhatian dengan segera”.
Pada Selasa lalu, Organization for Economic Cooperation and Development (OECD) pula telah menyatakan bahawa nisbah hutang kepada KDNK bagi negara tersebut adalah yang tertinggi sejak Perang Dunia Kedua.