Tempatan

Arah Masjid Perlahan Azan, 2 Laporan Polis Dibuat Di Pulau Pinang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Pulau Pinang 30 Jun 2023 – Tindakan seorang pemuda berbangsa Cina membuat provokasi ke atas jemaah Masjid Sungai Puyu dengan mengarahkan jemaah masjid memperlahankan azan, telah menimbulkan situasi tegang antara jemaah dan pemuda tersebut.

Menurut jemaah terlibat, pemuda Cina tersebut datang dengan berbasikal selepas jemaah menunaikan solat Subuh dan terus mengeluarkan kata-kata berunsur provokasi kepada jemaah yang berada di lokasi terbabit.

Jemaah yang ada telah meminta supaya pemuda tersebut pulang dan menghentikan provokasi beliau. Walau bagaimanapun, pemuda tersebut nyata terus berkeras melakukan provokasi.

Bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku, salah seorang jemaah mendekati pemuda tersebut dan meminta beliau sekali lagi pulang untuk mengelakkan ketegangan. Pemuda itu kemudiannya meninggalkan masjid tersebut selepas jemaah yang keluar semakin ramai.

Masjid Jamek Sungai Puyu telah beroperasi dan melaungkan azan sejak lebih 100 tahun yang lalu.

Bagi mengelakkan kejadian yang sama tidak berulang dan menimbulkan ketegangan, insiden tersebut telah dilaporkan di dua balai polis berasingan oleh jemaah yang terlibat.

Sebelum ini, Pulau Pinang telah dikejutkan dengan isu pertikaian berkenaan suara azan yang dibangkitkan wakil sebuah persatuan penduduk yang mahu suara azan diperlahankan di kawasan kediaman mereka. Isu yang juga menimbulkan situasi tegang tersebut kemudiannya diselesaikan dengan perundingan antara pihak terbabit yang kemudiannya membuat permohonan maaf.

Apa yang dikesalkan oleh penduduk di dalam kes terbaru ialah, pihak-pihak ini tidak serik untuk terus melakukan provokasi melibatkan perkara 3R (Race, Religion & Royalty).

Menurut salah seorang jemaah Masjid Sungai Puyu setelah laporan polis dibuat, isu pertikaian azan merupakan satu bentuk provokasi yang melibatkan ketiga-tiga elemen yang terdapat di dalam 3R yang dilarang oleh Kerajaan iaitu penghinaan kepada kaum, agama dan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam untuk Negeri Pulau Pinang.

Mereka menuntut Kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kali ini sebagai pengajaran supaya ianya tidak berulang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: