Arab Saudi Kini Bebas Sekatan COVID-19
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JEDDAH, 07 Mac 2022 – Kerajaan Arab Saudi menghentikan semua sekatan pandemik COVID-19 di negara tersebut, termasuklah pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka dan penjarakan fizikal.
Keputusan itu diumumkan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dan telah mula berkuatkuasa pada 5 Mac 2022.
Kerajaan mereka memutuskan untuk menarik balik arahan penjarakan fizikal di semua kawasan sama ada di kawasan terbuka atau tertutup termasuk di dua masjid suci umat Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Walaupun begitu, pemakaian pelitup muka masih digalakkan.
Selain itu, Arab Saudi tidak lagi mewajibkan pengunjung untuk menyediakan ujian PCR dan menjalani kuarantin wajib COVID-19 semasa ketibaan di negara tersebut.
Para pengunjung yang menggunakan visa lawatan turut disarankan untuk memiliki insuran perubatan bagi menampung kos rawatan daripada jangkitan COVID-19 sepanjang berada di Arab Saudi.
Langkah ini dilihat akan memudahkan urusan jemaah haji dan umrah ke negara itu.
Arab Saudi membuat keputusan sedemikian berdasarkan beberapa faktor termasuk situasi COVID-19 negara itu, maklum balas jabatan kesihatan, kejayaan dalam program vaksinasi serta kadar imunisasi dan imuniti yang tinggi dalam kalangan masyarakat melawan virus itu.
Terkini, kes COVID-19 di negara Arab Saudi mencecah lebih 747,000 kes dengan 9,000 kematian.