Tempatan

Ancaman Terhadap Empat Pulau, KetSA Perlu Semak Semula Kelulusan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KEDAH, 25 September 2022 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) agar mengkaji semula kelulusan projek menyedut pasir laut di Yan, Kedah, kerana ia bukan sahaja bakal menjejaskan alam sekitar dan sumber pendapatan penduduk malah, turut mengancam teruk Pulau Song Song bersama tiga pulau lain.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader mengeluarkan kenyataan sedemikian melalui sebuah hantaran di laman Facebook, berikutan kelulusan projek menyedut pasir laut di daerah berkenaan yang juga akan mengancam sumber perikanan dan kehidupan lebih kurang 1,000 nelayan di kawasan tersebut.

“Selain boleh menjejaskan keadaan semula jadi empat buah pulau di perairan tersebut iaitu Pulau Song Song, Pulau Telur, Pulau Bunting dan Pulau Bidan, pembiakan hidupan laut dan ekosistem di sini juga terancam.”

“Antara pulau yang teruk terancam ketika ini ialah Pulau Song Song. Pantainya telah menjadi sempit dan semakin mendap. Kawasan ini dahulunya menjadi tempat penyu mendarat tetapi sekarang tidak lagi sesuai untuk hidupan itu bertelur dan membiak,” jelasnya.

Menurut CAP, selain KetSA, Kerajaan Kedah dan Jabatan Perikanan juga perlu menyiasat aktiviti tersebut. Operasi menyedut pasir hanya dibenarkan di luar kawasan 3 batu nautika dari pulau-pulau berkenaan namun kapal penyedut pasir di sini kerap melakukan aktiviti mereka berhampiran pulau-pulau itu pada waktu malam bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“KetSA, jabatan dan agensi yang terlibat termasuk Kerajaan Kedah perlu memberi perhatian serius terhadap rungutan dan bantahan penduduk tempatan sebelum ini kerana mata pencarian mereka semakin terjejas akibat masalah itu.”

Kenyataan sama memaklumkan, CAP bimbang dengan masalah ini kerana aktiviti menyedut pasir laut di perairan tersebut bukan saja boleh mengancam keadaan semula jadi pulau-pulau tersebut dan mencemarkan perairan berkenaan tetapi juga memusnahkan tempat pembiakan ikan.

“CAP percaya jika keadaan tersebut berlarutan hidupan laut di perairan itu akan mengalami kepupusan dan boleh menggugat sektor perikanan negara pada masa akan datang. Empat buah pulau di perairan ini mungkin lenyap dan hanya tinggal nama suatu ketika nanti jika punca kejadian itu tidak ditangani segera.”

“CAP kesal dengan kelulusan projek ini yang sepatutnya dikaji secara terperinci terlebih dahulu dan dipantau dengan rapi oleh pihak kerajaan agar ia tidak mengancam alam sekitar dan menimbulkan masalah ke atas kehidupan nelayan di daerah itu,” maklum kenyataan tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: