Anak Muda Hari Ini Tersekat Dengan Hanya Perspektif Survival Diri Mereka – Ketua Kluster Agama PEMBELA
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 10 November 2022 – Ketua Kluster Agama PEMBELA, Haji Razali Daud bersetuju, golongan pengundi muda lebih tertarik dengan parti yang menawarkan manifesto berteraskan ekonomi dan pendidikan, namun bukan berkaitan isu Syariah.
“Isu anak muda menjadi perhatian dalam PRU-15 ini. Saya sangat setuju bila disebut puncanya ialah pemikiran mereka masih tersekat kepada survival diri mereka, bukannya soal keluarga, komuniti, soal masyarakat dan soal negara.”
“Jadi bila hal ini berlaku, mereka akan menumpu kepada tawaran-tawaran yang boleh memberikan kelangsungan hidup kepada mereka, kerjaya mereka, kehidupan, keselesaan mereka,” katanya, menjawab persoalan yang dilontarkan oleh seorang wartawan dalam ‘Sidang Media PEMBELA Berkaitan PRU-15’ di Anjung Melayu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, semalam.
Walau bagaimanapun, Haji Razali menegaskan, realiti kehidupan itu kita ada komuniti, masyarakat dan negara. Semua ini harus difikirkan.
“Kita tidak akan survive kalau cuma kita sahaja yang dapat memenuhi keinginan kita. Tetapi kita akan gagal sekiranya masyarakat tidak dibina, negara tidak dibina.”
Justeru, ujarnya, PEMBELA menyeru semua pihak, baik NGO, kalangan agamawan, ulama dan agensi-agensi Kerajaan sendiri agar semuanya memberikan dan memainkan peranan supaya kita mencorak kembali, membimbing kembali kesedaran, khususnya kalangan kaum muda ini supaya mereka melihat realiti kehidupan itu bukan hanya pada diri.
“Jangan biarkan mereka terus membuat keputusan mengikut pola fikir mereka sendiri, tetapi harus dipandu supaya mereka melihat dalam perspektif yang lebih luas dalam kehidupan. Semua pihak perlu membina, supaya kita yang dari golongan senior, veteran, berusia, dapat kembali memimpin tangan anak-anak muda kita.”