Amerika Syarikat Cuba Gugat Nilai-Nilai Tradisi Rusia – Putin
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RUSIA, 10 November 2022 – Tindakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara yang disifatkan sebagai “tidak mesra”, termasuklah syarikat-syarikat antarabangsa, beberapa NGO serta saluran media, sebenarnya adalah sebuah ancaman terhadap nilai-nilai tradisi Rusia.
Kenyataan tersebut telah dibuat oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Rabu lalu menerusi sebuah pengisytiharan dekri.
Dekri tersebut yang dicatatkan di dalam sebuah dokumen, adalah sebuah seruan kepada pemuliharaan serta perlindungan bagi nilai-nilai yang membolehkan negara tersebut melindungi serta menguatkan kedaulatannya.
Nilai-nilai tersebut turut dapat memelihara orang-orang Rusia serta membina potensi kemanusiaan bagi mereka.
Nilai-nilai tradisi yang telah berakar umbi dalam budaya serta sejarah Rusia telah membolehkan negara tersebut menghadapi cabaran-cabaran serta ancaman-ancaman baharu dengan efektif dan dalam masa yang sama, memelihara identiti mereka dengan kukuh.
Antara nilai-nilai yang dibahaskan dalam dokumen tersebut adalah maruah kemanusiaan, hak-hak asasi manusia, cinta akan negara, moral yang benar, keluarga tradisional, kenangan sejarah, penerusan generasi serta penyatuan warga yang tinggal di Rusia.
Dokumen yang sama turut menyatakan bahawa semua agama-agama besar termasuklah Kristian, Islam, Buddha serta Judaisme telah memberi kesan yang besar terhadap perkembangan nilai-nilai Rusia yang mana ianya dikongsi oleh semua orang yang beragama mahupun yang tidak beragama.