Tempatan

AMARAN: Ajaran Sesat Hadi Minallah Sedang Aktif Di Malaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 Ogos 2022 – Sebuah ajaran sesat baharu yang diasaskan oleh Hadi Minallah didakwa sedang aktif di Kuala Lumpur, Kajang dan Johor menurut sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube Akademi Penyelidikan Agama Dunia (AkPAD).

Menurut video itu, ajaran berasal dari Indonesia itu diasaskan oleh Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminuddin Ahmad dan didakwa menyebarkan beberapa fahaman yang sesat seperti akidah sesat Nur Muhammad, fahaman pluralisme agama, fahaman makrifat yang menyesatkan bahkan mengaku bahawa beliau bukan Islam serta tidak mempunyai agama.

Bukan itu sahaja, tular juga sebuah video yang menunjukkan isteri-isteri pengikutnya secara sukarela bersentuhan dengan beliau sewaktu Majlis Konvokesyen Sijil Penamat Risalah Bab Bersih, Perhimpunan Asia 2022 Risalah Bab Kesucian di Langkawi pada 10 hingga 13 Jun lalu.

Selain itu, kumpulan ini juga pernah mengadakan Silaturahim Ahli Nur Mutiara Mutmainnah yang bertempat di Surau At-Taqwa Al-Mutmainnah di Tanjung Buai, Kota Tinggi, Johor menurut video yang dimuat naik di saluran YouTube Hadi Minallah Official.

Ajaran itu yang berada di bawah Nur Mutiara Mutmainnah dan bertapak di Malaysia ini merupakan sebuah persatuan yang berdaftar secara sah di sisi undang-undang negara di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) manakala di Indonesia, ajaran itu berada di bawah Yayasan Nur Mutiara Makrifatullah.

Januari lalu, Tanah Datar di Sumatra Barat Indonesia telah dihebohkan dengan kemunculan sebuah ajaran bernama Bab Kesucian yang didakwa menyimpang hasil maklumat dari Majelis Ulama Indonesia (MUI), menurut sebuah portal.

Ajaran itu didakwa berasal dari Yayasan Nur Mutiara Makrifatullah Ahmad dan Nur Mutiara Mutmainnah di Malaysia.

Katanya, pihak MUI mengenalpasti keberadaan ajaran itu melalui saluran YouTube Yayasan Nur Mutiara Makrifatullah Ahmad dan penyimpangan ajaran itu sedang dalam pemantauan pihak MUI.

Berikutan dakwaan penularan ajaran itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini telah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) supaya menyekat dan mengambil tindakan terhadap kumpulan yang ajaran Hadi Minallah yang didakwa sesat itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan kumpulan itu yang sedang aktif menyebarkan dakyahnya di saluran YouTube.

“Kita mengaji di tempat-tempat, surau, masjid. Jadi apabila dia mengajar di tempat yang bukan tempat yang sepatutnya, perkara itu perlu dinilai semula. Dia mengajar di rumahnya, dalam hutan, mengajar dalam gua atau sebagainya, itu perkara yang pelik,” ujar beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: