Akta Tanggungjawab Fiskal 2023, Bontoti Lubang Biawak Ekonomi Negara Bermasalah? – Hezri Sardi
Akta Tanggungjawab Fiskal 2023
Menteri Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam kenyataan-kenyataan terbaru beria-ia untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal 2023. Undang-undang fiskal kononnya untuk menyelesaikan masalah hutang negara seterusnya menyelesaikan masalah ekonomi negara. Itu hanya janji bulan dan bintang. Realiti menunjukkan sebaliknya.
Seawal 2001, Jepun dah ada undang-undang Tanggungjawab Fiskal yang dikenali sebagai Zaisei Nōryoku Kaizen Hō”. Tetapi tahap hutang kerajaan Jepun adalah paling tinggi di dunia iaitu melebihi 263% daripada Gross Domestic Product (GDP) negara Jepun. Yang lebih kelakar hampir 50% hutang kerajaan adalah dengan Bank Negara Jepun. Pendek kata, walaupun Jepun ada undang-undang Tanggungjawab Fiskal, Jepun suka “cetak duit”.
Itali ada undang-undang Tanggungjawab Fiskal iaitu Legge di Stabilità yang digubal pada 2014. Sekarang hutang kerajaan Itali adalah 150% daripada GDP negara Itali.
Seawal 2001, Portugal ada versi undang-undang Tanggungjawab Fiskal iaitu Lei de Enquadramento Orçamental tapi sekarang hutang kerajaan Portugal ialah 120% daripada GDP.
Amerika Syarikat ada pelbagai bentuk undang-undang Tanggungjawab Fiskal tapi hutang kerajaan US melebihi 120% daripada GDP.
Pada 2011, Kongres Amerika menggubal Budget Control Act of 2011 untuk jimat cermat. Seawal 1974, US dah ada The Congressional Budget Act of 1974 yang mencipta undang-undang PAYGO (pay as you go) di mana setiap perbelanjaan tambahan wajib terlebih dulu dibayar oleh cukai tambahan atau potongan dalam belanja lain. Tapi hutang kerajaan US adalah begitu besar.
Di Chile, sejak 2006 dah ada Fiscal Responsibility Law tapi ia gagal kerana hanya fokus untuk potong belanja saja dan tak selesaikan isu ekonomi rakyat.
Di Brazil, undang-undang Tanggungjawab Fiskal dah ada sejak 2000 tapi gagal. Uniknya, undang-undang itu melarang kerajaan Brazil naikkan belanja setiap tahun melebihi kadar inflasi. Tapi akhirnya kerajaan Brazil berulang kali melanggar undang-undang ini.
Satu lagi negara yang selalu langgar undang-undang Tanggungjawab Fiskal sendiri ialah Afrika Selatan yang dah ada Fiscal Responsibility Act seawal 1998. Boleh Google apa mereka buat.
Sepanyol sejak 2012 dah ada Ley de Responsabilidad Fiscal tapi hutang negara sekitar 115% daripada GDP. Begitu juga Perancis pada 2012 dah ada Loi de responsabilité fiscale. Sekarang hutang kerajaan Perancis adalah sekitar 113%.
Pada 1998, Greece terpaksa gubal Nomos Oikonomikis Euthynis (undang-undang Tanggungjawab Fiskal) untuk masuk EU tapi semua tahu keadaan semakin teruk hingga Greece muflis pada 2010. Argentina laksanakan undang-undang Tanggungjawab Fiskal pada 2001 tapi semua tahu apa berlaku pada Argentina kemudiannya.
India menggubal Fiscal Responsibility and Budget Management Act (FRBMA) pada 2003. Dia kata FRBMA untuk hilangkan defisit Belanjawan tapi akhirnya undang-undang terpaksa diubah apabila kerajaan India berulang kali catat defisit.
Kalau dibandingkan dengan negara-negara lebih maju dan berpotensi yang lama melaksanakan undang-undang Tanggungjawab Fiskal, hutang Kerajaan Malaysia masih maha kecil iaitu setakat 65% daripada GDP negara Malaysia. Kalau ada akta Tanggungjawab Fiskal kelak, Kerajaan akan suruh rakyat ikat perut tapi apa berlaku kepada negara-negara yang dah buat begitu? Hutang Kerajaan Malaysia amat kecil tapi hutang hutang kerajaan yang dah ada akta Tanggungjawab Fiskal jauh lebih besar!
Politikus negara kita tergila-gila nak buat Akta Tanggungjawab Fiskal 2023. Tapi lihat negara-negara yang dah buat akta Tanggungjawab Fiskal. Semuanya gagal mencapai matlamat. Adakah kaki-kaki belit dalam negara kita dapat buat lebih baik daripada negara-negara maju yang disebut tadi?
Hezri Sardi
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my