Akibat Kemiskinan, Penduduk Gaza Hasilkan Diesel Mampu Milik
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JABALIA, 04 September 2022 – Akibat kemiskinan dan kenaikan harga bahan api yang tertinggi di Timur Tengah, penduduk Gaza bertindak menghasilkan diesel mampu milik dengan membakar barangan plastik.
Mahmoud al-Kafarneh, 25 tahun, memaklumkan bahawa projek itu dimulakan sejak 2018 melalui carian di internet. Selepas beberapa kegagalan dan percubaan, mereka berjaya menghasilkan bahan api dalam masa lapan bulan.
Mahmoud juga mengesahkan, projek itu mula dilaksanakan di sebuah lokasi yang jauh dari kediaman penduduk dan tiada sebarang masalah kesihatan dilaporkan berlaku.
Sehubungan itu, Mahmoud berkata, dia mampu untuk menaik taraf peralatan untuk menghasilkan diesel mampu milik itu dengan menggunakan tangki lebih selamat yang dikendalikan oleh tenaga elektrik, namun peralatan tersebut tidak tersedia akibat sekatan yang dilakukan oleh rejim haram aparteid Israel.
Sejak 2007, rejim haram aparteid Israel telah menyekat aliran masuk orang ramai dan barangan dari kawasan pesisir pantai Semenanjung Gaza. Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, kadar penggangguran di Gaza meningkat dan purata gaji harian hanyalah sekitar 60 shekel (RM62.42).
Sementara itu, petrol yang dihantar dari rejim haram aparteid Israel pula melonjak sehingga lapan shekel (RM10.99) seliter susulan perang antara Rusia dan Ukraine Februari lalu.
Permintaan bahan api mampu milik yang dihasilkan Mahmoud juga telah melonjak disebabkan situasi tersebut terutamanya di kalangan para nelayan dan petani yang menjadi antara pelanggan utama projek pemuda itu