Agong Titah Segala Urusan Rakyat Dibantu Dan Dipermudahkan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 01 Mac 2022 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya segala urusan rakyat dibantu dan dipermudah untuk membina semula kehidupan dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah pemulihan ekonomi negara perlu disegerakan agar Malaysia tidak ketinggalan.
Baginda turut menyentuh mengenai program penstabilan dan penyeragaman harga supaya dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak rakyat terus terhimpit dengan kos sara hidup.
“Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik. Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.
“Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat beta untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berpatutan.
Usaha ini juga selaras dengan aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat beta.”
Selain itu, dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14 pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak perlu dipercepatkan.
Al-Sultan Abdullah turut menyambut baik usaha kerajaan membangunkan projek infrastruktur rel mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru – Singapura dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3).
Titah Seri Paduka Baginda, projek-projek strategik sebegitu akan memberi keselesaan, ketersambungan ke pelbagai lokasi dan bakal menghasilkan limpahan pembangunan ke semua wilayah dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.