9 Dari 25 Sungai Tercemar Berada Di Johor
JOHOR BAHRU, 28 Julai 2024 – Terdapat 25 sungai di negara ini diklasifikasikan sebagai tercemar dan sembilan daripadanya berada di Johor.
Kesemua sungai yang tercemar terletak dalam daerah ini iaitu Sungai Danga, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sungai tercemar itu berada dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat yang berpunca daripada pelbagai aktiviti termasuk perindustrian dan loji kumbahan.
Sehubungan itu, katanya, usaha-usaha untuk memelihara sungai perlu digerakkan secara agresif di peringkat akar umbi dan tidak bergantung terhadap tindakan dan modus operandi penguatkuasaan semata-mata.
“Keempat-empat anak Sungai Tebrau iaitu Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi mencatatkan kualiti membimbangkan dengan faktor pencemaran daripada kumbahan selain industri, sektor komersial dan kerja tanah.”
“Memang kita akui cabaran di Johor ini adalah untuk membersihkan sungai-sungai ini, di sinilah komuniti perlu main peranan masing-masing untuk bersama-sama menjaga kebersihan sungai kita,” katanya.