7,000 Tenaga Kerja Diperlukan Di Industri Perhotelan Kuala Lumpur
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 Mac 2022 – Terdapat 7,000 kekosongan tenaga kerja yang perlu diisi oleh industri perhotelan di Kuala Lumpur, menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Terdapat 146 buah hotel di Kuala Lumpur yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, menurutnya lagi.
“Isu kekurangan tenaga kerja memberikan impak besar terhadap sektor perhotelan sejak pandemik COVID-19 melanda negara kerana ada kakitangan berhenti kerja dan ada yang ditamatkan khidmatnya.”
“Perkara ini perlu dibincangkan dengan beberapa kementerian dan saya juga akan berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berhubung masalah ini,” katanya.
Datuk Seri Jalaluddin Alias juga membangkitkan mengenai saingan yang terpaksa dihadapi oleh pihak perhotelan ekoran cabaran sengit daripada premis Airbnb dan premis penginapan lain yang tidak berdaftar.
“Di Kuala Lumpur, tidak kurang daripada 11,000 premis Airbnb dan premis lain dijadikan penginapan pelancong yang jelas memberi kesan kepada sektor perhotelan. Perkara ini juga akan dibincangkan dengan pihak berkaitan berhubung tindakan seterusnya,” katanya.