Tempatan

65 Tahun Merdeka, Tak Fasih Bahasa Kebangsaan, Buang Saja Kerakyatan – Profesor Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 24 Februari 2023 – “Sudah lebih 65 tahun negara kita Merdeka, takkanlah masih ada warganegara yang tidak fasih berbahasa Kebangsaan, teruk sangat tu, kalau ada lagi memang dia tidak layak jadi rakyat Malaysia, lebih baik buang saja kerakyatannya,” tegas Profesor Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam.

Menurutnya, setiap rakyat dalam acara rasmi perlulah menggunakan Bahasa Kebangsaan. Tetapi kalau untuk urusan personal dia nak cakap bahasa lain itu hak dia lah tetapi untuk urusan rasmi tidak bolehlah mereka nak gunakan bahasa selain Bahasa Kebangsaan, itu tak betullah.

Dr Ramlah Adam berkata, Bahasa Melayu dan Bahasa Kebangsaan adalah lain konteksnya dengan Bahasa Ibunda. Orang Cina Bahasa Ibundanya bukan Bahasa Melayu. Mereka ada Bahasa Ibunda mereka sendiri itu kita tidak boleh nafikan atau memaksa mereka untuk berbahasa Melayu pula. Itu tak bolehlah.

Jelas Pakar Sejarah itu, Bahasa Ibunda orang Melayu, Bahasa Melayu lah, Bahasa Ibunda orang Cina pula secara umumnya bukan Bahasa Inggeris tetapi bahasa merekalah sama ada Hokkien atau Kantonis, Mandarin, Wu dan lain-lain. Bukan itu saja, kebanyakan dialek variasi bahasa Cina ditutur cukup banyak kelainannya sehinggakan mereka sendiri pun saling tidak memahami antara satu sama lain.

Beliau berkata, bahasa ibunda adalah bahasa yang diajar dan digunakan oleh anggota keluarga sejak dari kecil. Tidak dinafikan, ada juga yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa Ibunda mereka kerana diajar bertutur sejak dari kecil oleh ibu bapa mereka.

Sama macam, orang Melayu di Malaysia bahasa ibundanya Bahasa Melayu sekali gus dijadikan Bahasa Kebangsaan yang juga Bahasa Melayu. Di dalam Bahasa Melayu juga terdapat banyak dialek yang bervariasi. Begitu juga dengan orang Jawa misalnya mereka ada Bahasa Ibunda mereka Bahasa Jawa.

Tambah beliau, berlainan dengan Bahasa Kebangsaan hanya satu iaitu Bahasa Melayu dan bahasa inilah yang perlu dikuasai dengan mahir oleh seluruh rakyat Malaysia tak kiralah apa bangsa dan agamanya sekalipun baik untuk tujuan komunikasi dan urusan rasmi kerana telah mendapat pengiktirafan sebagai Bahasa Kebangsaan sekali gus termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan.

Jelas Dr Ramlah Adam, melihat keadaan sekarang saya rasa perkembangannya warganegara Malaysia lebih baik berbanding beberapa tahun lalu sebab kebanyakan rakyat Malaysia telah melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan yang sama.

Ujarnya, di Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan juga diajar Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan sebagai subjek wajib. Penguasaan Bahasa Melayu mereka juga sangat bagus sekarang.

“Kalau kita lihat hubungan sosial masyarakat di luar pun kebanyakan Warganegara tanpa mengira kaum pun masing-masing sudah bercakap menggunakan Bahasa Melayu sekarang.”

Lagipun, sekarang orang bukan Melayu termasuk bangsa Cina dan India dan lain-lain yang tinggal di Malaysia ini pun sudah generasi ke 4 dan rata-rata orang-orang muda ini telah mampu berevolusi menjadi rakyat Malaysia yang baik dengan mementingkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Generasi sekarang, tidak lagi seperti generasi terdahulu. Sistem Pendidikan Kebangsaan juga berperanan menyedarkan dan menjadikan mereka sebagai rakyat Malaysia yang baik dan dapat bertutur Bahasa Kebangsaan dengan fasih.

“Malulah, kalau mereka tidak boleh bercakap Bahasa Kebangsaan, itu masalah individu kerana kebanyakannya sudah mahir cuma penghayatan saja yang perlu ditingkatkan,” katanya.

Tetapi bagaimanapun, tegas beliau, kalau masih ada lagi yang mendewakan Bahasa Ibunda berbanding Bahasa Kebangsaan mereka ini sudah ‘out of context’ dan tidak layak lagi menjadi Warganegara Malaysia.

“Lagipun, sekarang DAP pun sudah jadi sebahagian Kerajaan, bagi saya mereka pun dah segan nak cakap Bahasa Ibunda berbanding Bahasa Kebangsaan, sebaliknya MP Melayu pula dilihat mengada-ngada nak bercakap Bahasa Inggeris di dalam Parlimen.”

“Itulah, sebenarnya orang Melayu ini mereka sendiri adakalanya tidak sedar mereka jadi contoh yang kurang baik. Bercakap Bahasa Inggeris dilihat hanya untuk berlagak saja. Kita lihat, orang Indonesia berbilang kaum juga elok je cakap Bahasa Kebangsaan mereka Bahasa Indonesia, mereka tak malu pun,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: