Tempatan

5,000 Pokok Musang King, Terpulang Kepada Kerajaan Negeri Sama Ada Hapuskan Atau Tidak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2022 – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan menjelaskan berkenaan isu yang melibatkan 5,000 pokok durian Musang King di atas Gunung Inas, Baling yang ada sekarang ini adalah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan terpulang kepada mereka.

“Atas arahan daripada kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah sama ada 5,000 pokok yang ditanam di atas 52 hektar tanah Gunung Inas itu hendak dihapuskan ataupun tidak, itu terpulang kepada Kerajaan Negeri.”

Tambah Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan, perkara ini bergantung kepada Kerajaan Negeri kerana yang meluluskan pembalakan adalah Kerajaan Negeri dan kebenaran untuk menanam tanaman ladang tersebut di atas 52 hektar tanah di Gunung Inas juga adalah dari Kerajaan Negeri.

Justeru, sama ada menghapuskan atau tidak, itu terpulang kepada Kerajaan Negeri, ujar beliau lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan yang boleh dibuat oleh Kerajaan Persekutuan adalah berunding dan menasihatkan Kerajaan Negeri supaya mengambil langkah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Baling dalam mendepani isu keselamatan berikutan insiden kepala air yang berlaku baru-baru ini.

Jawapan tersebut adalah bagi menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang Parlimen hari ini.

Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan juga menjawab soalan berkenaan dakwaan tiga kolam yang terdapat di atas Gunung Inas menjadi punca kepada tragedi kepala air tersebut.

Menurut beliau, kajian daripada Kementerian belum lagi dapat mengesahkan perkara tersebut dan ditambah pula keadaan kolam-kolam tersebut yang belum pecah ketika kejadian berlaku.

Beliau berkata, Kementerian memberi jaminan sekiranya cadangan menutup atau mengalih keluar air daripada kolam-kolam tersebut dapat mengelakkan insiden kepala air dari berlaku lagi, maka tindakan segera akan diambil.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan tindakan menutup atau mengalih keluar air daripada tiga kolam tersebut juga bergantung kepada Kerajaan Negeri Kedah bukan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Dalam masa yang sama, Kementerian turut akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah menyelesaikan isu mengelakkan risiko ini berlaku.

Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan turut memaklumkan bahawa kawasan persekitaran Gunung Inas, Baling masih tidak stabil dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh serta jatuhan batu disebabkan oleh adanya bongkah batuan longgar yang tergantung lereng-lereng gunung.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: