3 Mei, Penentuan Nasib Siti Bainun
KUALA LUMPUR, 10 Mac 2023 – Nasib pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, berhubung kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down, Bella akan diketahui 3 Mei ini setelah pihak pembelaan selesai memanggil lapan saksi.
“Pihak pembelaan tiada mempunyai saksi lain. Dengan berakhirnya keterangan saksi pembelaan kelapan, pihak kami menutup kes hari ini,” kata Mohammad Farhan Maaruf, peguam yang mewakili Siti Bainun.
BACA JUGA: Pemandu E-Hailing Mangsa Sindiket Wang Palsu
BACA JUGA: PERHATIAN: Jalan Raja, Dataran Merdeka Ditutup Sehingga 13 Mac Ini
BACA JUGA: Denggi: Negeri Sembilan Catat Lonjakan 580 Kes
Hakim Izralizam Sanusi berkata, pada tarikh tersebut mahkamah akan membuat keputusan sama ada mensabitkan Siti Bainun dengan pertuduhan tersebut atau melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan terbabit.
“Pihak-pihak diarahkan untuk memfailkan hujahan bertulis dan menyerahkan kepada pihak lawan sebelum atau pada 7 April ini manakala hujahan balas perlu difailkan pada atau sebelum 14 April,” kata Izralizam.
“Tidak mahu ada komen atau aduan tidak menerima,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.