Antarabangsa

165 Hari Mogok, Kesihatan Khalil Awawdeh Makin Merosot

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RAMALLAH, 16 Ogos 2022 – Mahkamah tentera Israel menolak rayuan untuk membebaskan seorang tahanan Palestin, Khalil Awawdeh yang dilaporkan semakin kritikal kesihatannya ekoran mogok lapar yang dilancarkannya sejak 165 hari yang lalu.

Khalil melancarkan serangan mogok sebagai protes atas penahanan pentadbiran yang dilakukan terhadap dirinya tanpa pertuduhan dan perbicaraan.

Khalil, 40, bapa kepada empat orang anak yang tinggal di bandar Idna selatan Tebing Barat telah ditahan pada 27 Disember tahun lalu, dan dikenakan hukuman penahanan pentadbiran selama enam bulan apabila dituduh sebagai ahli kumpulan bersenjata.

Menurut Dr Lina Qasem-Hassan, Pakar Perubatan untuk Hak Asasi Manusia Israel, berat Khalil kini menurun kepada 42 kilogram dan mengalami gejala neurologi yang teruk dan gangguan kognitif, yang mungkin tidak dapat dipulihkan.

Dr Lina juga menegaskan nyawa Khalil kini dalam bahaya.

Khalil pernah menghentikan mogoknya pada hari ke-111 bulan lalu, selepas pihak berkuasa Israel memberi jaminan untuk tidak menyambung tempoh penahanan pentadbirannya. Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel mengingkari janji tersebut.

Dasar penahanan pentadbiran Israel sememangnya dikutuk secara meluas kerana sewenang-wenang menahan rakyat Palestin tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan untuk selang masa yang boleh diperbaharui antara tiga dan enam bulan yang selalunya membawa penahanan selama bertahun-tahun.

Akan tetapi, Israel bertegas bahawa tahanan pentadbiran ditangkap atas ‘bukti rahsia’ dan prosedur itu diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa menahan suspek sambil terus mengumpul bukti walau secara jelas sistem itu telah disalahgunakan secara meluas.

Terkini, kira-kira 670 rakyat Palestin ditahan dalam tahanan pentadbiran, dan jumlahnya semakin meningkat pada Mac lalu ketika Israel memulakan serbuan tangkapan hampir setiap malam di Tebing Barat yang dijajah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: