10 Pelombong Terperangkap, Mexico Mohon Bantuan Antarabangsa
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MEXICO, 19 Ogos 2022 – Mexico memutuskan untuk meminta bantuan daripada syarikat antarabangsa susulan kejadian tembok terowong runtuh dan menyebabkan 10 pelombong terperangkap dalam lombong arang batu tersebut selama hampir dua minggu sejak 3 Ogos lalu.
Menurut kenyataan Ketua Agensi Perlindungan Awam Mexico, Laura Velazquez, kerjasama daripada syarikat dari Jerman dan Amerika Syarikat itu akan menentukan tindakan mana yang lebih tepat untuk diambil oleh pihak Mexico bagi menyelamatkan para pelombong itu.
Tindakan meminta bantuan daripada kedua-dua syarikat itu juga diambil selepas mendapat desakan daripada ahli keluarga supaya tindakan lebih cepat diambil bagi menyelamatkan para pelombong yang terperangkap.
Kebanyakan ahli keluarga mangsa meluahkan kekecewaan dengan kelewatan dan menyalahkan kerajaan kerana tidak bertindak lebih pantas.
“Memang memalukan negara ini tidak mempunyai anggota penyelamat yang terlatih dan bersedia untuk situasi seperti ini,” luah Javier Tijerina, adik kepada mangsa.
10 orang pelombong tersebut terperangkap di bawah tanah sejak 3 Ogos lalu selepas lombong Pinabete di negeri sempadan utara Coahuila runtuh sehingga menyebabkan banjir di seluruh lombong dengan ketinggian air melimpah lebih separuh daripada aci lombong sepanjang 60 meter (197 kaki).
Justeru, jurutera sedang menjalankan usaha menyelamat dengan mengepam air keluar dari Pinabete sambil berusaha menutup lombong Conchas Norte yang berdekatan, di mana air yang terkumpul selama lebih 25 tahun kini mengalir masuk ke Pinabete disebabkan terowong bawah tanah yang runtuh.