1 Juta Pesara Terima Bantuan Khas Tahun Hadapan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2022 – Seramai satu juta pesara di Malaysia akan menerima bantuan khas pada Januari dan Mac tahun hadapan.
Jelas Kementerian Kewangan (MoF), walaupun peruntukan itu tidak disebut semasa pembentangan Bajet 2023 pada minggu lalu, golongan pesara akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM350 beserta Bantuan Kewangan Aidilfitri berjumlah RM300.
Kata mereka, bantuan khas akan dibayar pada Januari 2023, manakala sejuta pesara bakal menerima bantuan Aidilfitri pada bulan Mac berikutnya.
Mengulas lanjut, pihak kementerian mengambil maklum bahawa Bajet 2023 masih tertakluk kepada kelulusan Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan, namun mereka berpendapat pihaknya perlu memberi pencerahan mengenai beberapa perkara yang menjadi salah faham berhubung Bajet 2023.
Kementerian Kewangan mengatakan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menghadapi masalah kekangan masa untuk menghuraikan segala butiran mengenai lebih 200 inisiatif ketika membentangkan Bajet 2023.