1.2 Juta Pelancong China Tidak Kembali Ke Negara Asal, Mana Silapnya? – Aminuddin Yahaya
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 27 Julai 2022 – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya mempersoalkan di manakah silapnya sehingga 1.2 juta pelancong dari negara China tidak kembali ke negara asal.
Beliau yang merujuk kenyataan dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan bahawa situasi ini sangat serius dan menunjukkan satu kealpaan yang sangat besar serta tidak harus berlaku kerana pihak berwajib mengawal kedatangan pelancong asing yang datang ke negara ini.
Hj Aminuddin Yahaya turut membangkitkan persoalan keberadaan 1.2 juta pelancong China tersebut dan menambah bahawa mungkin wujud juga pelancong-pelancong dari negara lain yang yang masih ada di negara ini seperti pelancong dari Bangladesh, India dan sebagainya tetapi tiada di dalam rekod.
“Itu yang direkod, kita tidak tahu lagi yang tak ada rekod. Itu negara China sahaja, kita tidak tahu negara-negara lain seperti Bangladesh, India dan sebagainya.”
Mungkin berlaku kepincangan dari sudut pentadbiran Kerajaan yang sepatutnya tindakan segera telah diambil kerana menurut Hj Aminuddin, tidak logik dan tidak masuk akal perkara ini dialpakan walhal kedatangan warga asing direkod.
Justeru, beliau menyeru pihak berwajib mengambil tindakan dengan segera sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara kita dengan menghantar pelancong-pelancong ini pulang ke negara asal.